Ku tuliskan coretan ini, meluahkan rasa yang terpendam di hati. Ingin sekali rasanya menitiskan airmata agar segala perasaan terluah jua namun aku sedar ia tak mampu memadam semua rasa itu. Setahun akan berlalu. Segala kenangan masih segar tersemat di sudut hatiku. Ingin sekali aku menghidup kembali apa yang telah mati, namun jelas semuanya tak mungkin terjadi.
Ku tuliskan nota ini, demi menyatakan perasaan jiwa. Jauh telah aku berjalan pada usia ini. Jauh sudah aku tinggalkan memori lama. Luka di hati tiada lagi berdarah, namun bisanya masih mampu mengusik naluri.
Ku tuliskan lembaran ini, untuk menzahirkan apa yang terbuku. Ku rasakan aku hilang sesuatu tanpa mengetahui apa yang perlu aku cari. Ku cari apa yang kurasakan hilang tanpa mengetahui apa yang patut ku jumpa. Ku rasakan hidupku senang dengan apa yang aku ada namun tak pula puas aku menikmatinya. Ku rasakan aku perlu sesuatu yang lain tanpa mengetahui apa yang ku mahu. Begitu sukar gejolak jiwa.
Ku tuliskan luahan ini, mengenangkan peristiwa hidup. Banyak kenalan telah pergi, ada juga yang menghadirkan diri. Namun tak semua mampu meninggalkan lukisan kenangan di lubuk hati. Jauh sekali menempatkan kesan di ingatan. Ku rindu masa silamku, namun ku tahu ia bukan pilihan. Ku rindukan taman-taman kasih yang pernah kusinggahi, namun kini bebunganya telah mati, kering beterbangan. Jika airmata ini mampu mewarnakan kembali apa yang telah pudar, akan ku kumpul dan kucurah bersama harapan. Namun, ia jelas tak mungkin terjadi.
Ku tuliskan titipan ini, seorang diri diselubungi sepi. Hari hari kian berlalu, begitu juga masa indahku. Ku tak mampu mengagak jalan yang masih jauh di hadapan, namu ia kan tetap tiba. Entah apa yang akan kutemu. Doaku mudah, agar mampu ku hadapi semua. Tak mahu jiwa dan hatiku mati. Tak mahu ku hidup tanpa erti.
Mungkin tak siapa tahu taufan yang melanda jiwaku. Ku tutup segala dengan keriangan wajahku. Biar aku sahaja yang merasakan kesedihan. Biar aku sahaja yang tahu…